loading...
Penganggur didakwa cium penguatkuasa ketika bertugas
KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencium seorang penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang menjalankan tugas, tahun lepas.
Tertuduh Cesar Jamanulla, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mahyuddin Md Som selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di sini hari ini.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan maksud mahu mencabul kehormatannya di hadapan Hotel Ansa, Bukit Bintang, Jalan Gading dekat sini jam 7.20 malam, 20 Februari lepas.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Cesar yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kepada mahkamah kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang berusia 27 tahun itu sedang menjalankan tugas rondaan menyaman bersama rakan setugasnya apabila didatangi tertuduh yang melarangnya mengeluarkan saman.
Ketika mangsa hendak mengeluarkan saman untuk kereta yang terakhir, tertuduh sekali lagi telah datang dan mengatakan bahawa mangsa seorang yang cantik.
Wanita itu tidak melayan tertuduh dan mengarahkannya supaya memberi laluan kepadanya untuk mengambil gambar kereta yang telah disaman, tetapi tertuduh telah bertindak memegang muka mangsa dan mencium bibirnya.
Mangsa menolak tertuduh tetapi lelaki itu sekali lagi menerpa ke arahnya sehingga wanita itu menjerit memanggil rakan setugasnya yang kemudian telah menahan Cesar dan membawanya ke balai polis. - Bernama
loading...
0 Response to "PADAH! Angkara Terlalu Gersang, Penganggur Didakwa Cium Penguatkuasa Ketika Bertugas"
Post a Comment