loading...
8 produk kosmetik dikesan beracun - KKM
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lapan produk kosmetik
yang mengandungi racun berjadual, merkuri, hydroquinone dan tretinoin
yang tidak dibenarkan dalam produk kosmetik, lapor Sinar Harian Online.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan
produk tersebut ialah Moleek Day Cream, Adel Miracle Flawless Serum, Ah
Beauty Night Cream yang mengandungi merkuri, Ndz UV Whitening
(hydroquinone), Snow Cream Normal, Snow Cream Sensitif, Dnars Nar Cream -
Sensitif dan Ellfie Night Cream (hydroquinone dan tretinoin).
Berikutan pengesanan bahan beracun berjadual itu, notifikasi
produk-produk kosmetik tersebut telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan
Perkhidmatan Farmasi, KKM.
"Produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan hydroquinone boleh
menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan
warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.
"Selain itu, ia boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang
mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan
boleh meningkatkan risiko kanser kulit," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan
tretinoin biasanya dipromosikan untuk tujuan merawat masalah jerawat dan
membantu mengurangkan kedutan. Namun, penggunaan tanpa pengawasan
bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih,
mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Bagi produk kosmetik yang dicampurpalsu dengan merkuri, ia boleh
memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk
kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan
pada buah pinggang dan sistem saraf.
Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil
atau yang belum dilahirkan. Pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami
oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik
yang mengandungi bahan merkuri disapu pada kulit meruap dan dihidu.
Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh menyebabkan ruam,
iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Justeru, Dr Noor Hisham menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan
produk kosmetik yang terlibat, menghentikan penggunaannya dan
mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami
sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
Penjual dan pengedar produk-produk terlibat diberi amaran untuk
menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk tersebut dengan
serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk-produk itu melanggar
Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini
boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak
melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda
tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau
kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikut.
Syarikat yang melakukan kesalahan itu juga boleh dikenakan denda
sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000
untuk kesalahan berikutnya.
loading...
0 Response to "BAHAYA!!8 produk kosmetik dikesan beracun - KKM"
Post a Comment